Bekas pemain import Batu Dua FC, Ljuba Baranin menggesa rakan sepasukan untuk mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap penaja utama kelab, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim.

Mohd Hazarul atau yang lebih sinonim dengan panggilan ‘Tuan Muda’ itu didakwa memberikan cek palsu bagi mengelak untuk membayar gaji pemain Batu Dua FC.

Ljuba Baranin
Sumber Gambar: Batu Dua FC

“Saya sudah membuka jalan apabila mendedahkan sikap buruk ‘Tuan Muda’ terhadap saya. Bukan saya saja yang melalui nasib sama, malah ramai lagi rakan sepasukan yang menerima nasib malang.

“Pendedahan yang saya lakukan adalah demi kebaikan bola sepak Malaysia. Disebabkan adanya individu seperti ‘Tuan Muda’ ini, bola sepak Malaysia menerima kesan buruk.

“Saya harap masalah ini dapat diatasi dan pemain tampil mendedahkan sikap sebenar individu itu,” katanya menurut laporan Batu Dua FC.

Datuk Mohd Hazarul
Sumber Gambar: Batu Dua FC

Selepas Ljuba membuat pendedahan mengenai salah laku serta layanan yang diberikan oleh pengurusan Batu Dua terhadap beliau, Mohd Hazarul menafikan segala pertuduhan yang dilemparkan oleh Ljuba.

Hazarul kemudian mencabar mana-mana pihak untuk mengheret dirinya ke muka pengadilan dengan membuat laporan polis.

Hazarul turut dikaitkan sebagai punca utama pemain daripada Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC tidak menerima sebarang bayaran gaji.